::mUsafir pungguk::

Thursday, June 24, 2010 at 9:24 AM

Ini kisah seekor pungguk
Pungguk burung biasa

Terbang merata-rata

Musafir seluruh dunia

Singgah setiap kota

Kala malam gelita

Bertenggek

Pada dedahan besi, Hutan konkrit

Memerhati

Pada celahan dedaunan kaca.


Pungguk itu bertenggek diam, kaku

Dengan dua matanya melihat dunia

Menilai hidup kejadian makhluk

Dikatakan hebat kerana akalnya.


Malam zulumat itu

Si pungguk memerhati

Sang manusia, makhluk pelupa

Kelakuannya keakuan, Penting diri

Kata mereka

“Kuburku, kuburku

Kuburmu, kuburmu

Biarkan aku dalam duniaku

Kamu dengan duniamu

Usah peduli

Ini hak asasi

Jangan kau ganggu

Ini sifatnya peribadi!”

Hatta kain carik, rabak

Tak tersedar dek ananiyah

Tak ditegur, tak disapa

Maka ketawa besarlah musuh Adam dan Hawa.


Si pungguk menonton pula

Manusia berbalah puncanya harta

Putus saudara kerna wang tak seberapa

Tamak, seperti hidup abadi selamanya

Juga

Sanggup bergaduh asbabnya wanita

Berbunuhan kononnya demi cinta

Walhal retorika semata-mata

Khayal dengan candu cinta dunia

Tanpa roh agama

Juga

Rakus mengejar pangkat bertangga-tangga

Berdendam mengimpikan takhta

Cemburu dan dengki kerana nama

Jadilah mereka manusia Machiavelli

Matlamat menghalalkan cara.


Si pungguk kepelikan

Di sebalik terselindung rembulan di balik awan hitam

Melihat songsangnya cinta manusia

Mengimbau kisah silam kaum Sodom

Telah terhukum dahsyat oleh Tuhan

Apakah mereka lupa malapetaka bersejarah itu?

Si anak muda pula

Di celah-celah lorong sempit, hapak

Cakap-cakap orang tua

Inilah bakal Perdana Menteri kita

Mereka terkinja-kinja

Bergilir-gilir menogok kencing syaitan

Sambil bergesel dan terlanjur

Ekstasi hedonis melenyapkan realiti

Kesemua mereka di puncak mimpi

Menuju Nirvana yang mustahil.


Langit malam gelap tanpa bintang

Namun si pungguk masih dapat melihat

Si anak tergamak memenggal bapanya

Si bapa bernafsu binatang

Melampiaskan serakah pada darah dagingnya

Si nenek tua mangsa pelesit tak berguna

Kemanusiaan ditelanjangkan tanpa rasa malu

Membuka keaiban satu persatu

Merendahkan martabat manusia

Asal tingkatannya mulia

Akhirnya bobrok

Ke tempat hina.


Mata pungguk berkaca-kaca

Hampir-hampir menitis air mata

Gerun dengan sifat manusia

Hilang matlamat terciptanya

Hairan bercampur bingung

Bukankah dulu sang malaikat

Makhluk cahaya pernah bertanya,

“Mengapa engkau wahai pencipta?

Ingin menjadikan makhluk asal tanah ini

Yang kan menumpahkan darah sesama mereka

Dan mencipta kemusnahan melata?

Maka Dia berkata

Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.”



Pungguk itu penuh inkuiri

Naluri kebinatangannya merangsang kedangkalan otak haiwannya

Ingin tahu

Persoalan malaikat hari itu

Realiti hari ini

Salah siapakah?

Salah Tuhan yang menciptakah?

Salah Tuhan yang memberi nyawakah?

Tuhan langsung tidak silap

Bahkan Dialah sempurna

Menyalahkan takdir

Dosa manusia tak berfikir.


Bukankah Tuhan itu maha Adil?

Diberi dua jalan kepada insan

Jalan menuju syurgakah?

Atau jalan ke nerakakah?

Pilihannya pada manusia

Sepatutnya berperwatakan khalifah

Berjiwa hamba.


Pungguk itu menggeleng

Keliru dengan makhluk aneh ini

Monolognya sendiri

Perlukah terus ia di sini, memerhati

Ragam manusia terbelenggu

Pada rangka jahiliyah alaf baru

Yang takkan terlenyap

Kalau-kalau mereka tidak ingin insaf

Mencari titik perubahan dalam ketauhidan

Lantas si pungguk mengibaskan sayapnya

Terus

Terbang tinggi dalam gelap pekat angkasa

Mencari telunjuk buruj

Ingin berhijrah ke kota Munawwarah

Kota penuh cahaya

Kota Aqidah.



*credit to hasbullah tawe 2010/2011..
..sedikit perk0ngsian buat semua..
::SUJUDCINTAILLAHI::

0 comments

Post a Comment

Powered by Blogger | Entries (RSS) | Comments (RSS) | Designed by MB Web Design | XML Coded By Cahayabiru.com